Bernama 07/10/2024 17:30 MYT
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Program Tekad Reformasi Pendidikan di Dewan Seri Cempaka MPKJ hari ini. – Foto BERNAMA
KAJANG: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) akan diperluas kepada 17,000 murid di negeri ini bagi meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi asas mereka.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu adalah berdasarkan data yang diterima daripada Jabatan Pendidikan Negeri melibatkan murid Tahun Satu, Dua dan Tiga terutamanya murid yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
“Ketika ini, kita buat program intervensi iaitu melalui PTRS, yang bertujuan mendidik dan melatih mereka supaya lebih cekap… literasi, numerasi maknanya boleh membaca, mengira dan juga cara berfikir mereka itu dapat dipertingkatkan.
“(Ini kerana) mereka lebih kurang setahun, dua tahun tidak bersekolah, jadi asas-asas itu terganggu ketika proses pembelajaran terhenti atibat pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Program Tekad Reformasi Pendidikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, di sini hari ini.
Pelaksanaan Program Tekad Reformasi Pendidikan, yang merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri Selangor, menampilkan program-program yang dilaksanakan untuk memperkasa pendidikan di Selangor. Inisiatif ini selaras dengan usaha reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan oleh KPM.
Melalui Program Tekad Reformasi Pendidikan, Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor menonjolkan usaha kerajaan negeri dalam memodenkan infrastruktur pendidikan, menyediakan kemudahan pembelajaran terkini, serta memberi sokongan yang berterusan kepada para pendidik dan pelajar.
Program itu juga bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai negeri terdepan dalam memperkasa pendidikan berkualiti dengan pelbagai inisiatif yang memfokuskan kepada pembangunan modal insan dan inovasi pendidikan.
— BERNAMA